PENJELASAN MENGENAI JIHAD |
Oleh: |
JAKIM |
1.
PENDAHULUAN Perkataan
Jihad adalah kalimah bahasa
Arab yang telahpun diserap ke dalam bahasa Kebangsaan.
Fonatik kalimah ini sangat ringkas dan mudah.
Namun begitu masyarakat awam mempunyai persepsi dan pemahamannya
yang tersendiri terhadap Jihad.
Umumnya ramai yang memahami Jihad
sebagai suatu aksi yang dikaitkan dengan perjuangan dengan menggunakan
senjata dan secara fizikal semata-mata.
Kalimah Jihad
semata-mata hanya disinonimkan dengan beberapa aksi yang bersifat
kekerasan dan begitu drastik, melibatkan senjata api dan berlaku
pertumpahan darah atas dorongan untuk mendapatkan Syahid.
Pastinya tidak ramai yang menyedari bahawa pegangan sesetengah mereka yang
fanatik dan buta ilmu terhadap istilah jihad membawa kepada tercemarnya
istilah suci jihad itu di mata orang Islam dan juga bukan Islam. 2.
TAKRIF JIHAD
Dari
sudut bahasa, Jihad berasal
daripada kalimah “al-Juhd”
(
), yang
bererti keberatan dan kesusahan. Dipandang dari sudut ini, maka Jihad
bererti mencurahkan daya dan tenaga kekuatan dalam usaha mencapai suatu
matlamat atau cita-cita mulia dan ideal, iaitu matlamat dan cita-cita
Islam serta mendapat keampunan
Allah, keredhaan dan rahmatNya. Dalam
pengertian yang lain, Jihad
adalah mencakupi suatu usaha bersungguh-sungguh untuk mencapai satu-satu
tujuan yang diingini atau mempertahankan sesuatu yang tidak diingini
dengan berbagai cara: alat, ilmu pengetahuan dan sebagainya.
Jihad
menurut al-Quran adalah umum dan menyeluruh, iaitu merangkumi semua aspek
daya dan tenaga kemampuan dan kekuatan seseorang Islam dalam menghadapi
musuh-musuhnya demi untuk mencapai cita-cita yang digariskan oleh al-Quran.
“Musuh-musuh” yang dimaksudkan di sini adalah meliputi musuh
dalaman manusia iaitu Syaitan
berupa manusia dan juga Jins
yang kerap menggoda nafsu manusia dalam bentuk zahir ataupun batin. Dalam
al-Quran, penegasan mengenai kefarduan Jihad
terdapat dalam berbagai ayat. Di antaranya menyentuh Jihad
berbentuk suruhan bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah (keupayaan
melawan hawa nafsu), memperkaya ilmu, menggunakan al-Quran sebagai
makanisma untuk menegakkan kebenaran,
pengorbanan harta dan juga berbentuk pengorbanan jiwa.
3.
JIHAD SEBENAR DALAM ISLAM Berdasarkan
nas-nas al-Quran terdapat dua pembahagian besar terhadap Jihad,
Pertama; Jihad
Agung (
) iaitu Jihad
ke atas nafsu serta menentang tipu daya syaitan. Kedua;
Jihad Kecil (
), iaitu meliputi bentuk-bentuk Jihad
yang lain seperti Jihad dengan
hati (berdoa), Jihad dengan
lisan (nasihat dan tutur kata) atau kalam (penulisan), Jihad
dengan ilmu dan pelajaran (memberi pengetahuan), Jihad
dengan harta (infak dsb.) dan seterusnya Jihad
dengan tubuh badan dan nyawa. Jihad
nafsu bermaksud jihad untuk
membersihkan jiwa dan mensucikan hati dan sifat-sifatnya yang rendah dan
keji untuk diisi dengan sifat-sifat yang mulia dan terpuji.
Ringkasnya ia merupakan Jihad
untuk mentaati Allah, tunduk kepada perintahNya sepanjang masa.
Ia dianggap Jihad Agung
kerana luas medan perjuangannya yang tidak terbatas dan terhad bagi
menangkis musuh yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera. Sebagaimana
yang dijelaskan di atas bahawa Jihad
yang paling tinggi ialah Jihad
melawan nafsu. Jihad melawan
nafsu meliputi kesanggupan kita bersabar terhadap segala kesulitan dan
cabaran-cabaran getir dalam menjalankan dakwah semata-mata kerana Allah
S.W.T. Termasuk juga Jihad
melawan nafsu adalah Jihad
melawan syaitan. Menurut Ibn Al-Qaiyim,
hal ini dapat dilakukan dengan dua cara, iaitu, Pertama:
dengan cara menolak bisikan yang dilemparkan ke dalam hati, sama
ada perasaan waswas, syak wasangka atau keraguan yang menggoyahkan
keimanan. Kedua:
dengan melawan bisikan syaitan di dalam hati yang sentiasa mengajak
melakukan perbuatan maksiat dan mungkar.
Untuk melawan kedua-duanya ini hendaklah iman diperkukuh dan
sentiasa sabar dan menahan diri. Dalam
hubungan ini, Jihad Agung
iaitu melawan dan menundukkan nafsu yang bersarang dalam hati lebih
diutamakan daripada Jihad
melawan musuh yang berbentuk luaran.
Apabila gagal menundukkan nafsunya untuk berbakti kepada Allah
S.W.T., tidak mungkin baginya
berdaya memerangi musuh yang berada di luar, kerana ia masih terkongkong
oleh nafsunya sendiri. Al-Qhardawi
menjelaskan bahawa pendidikan (tarbiyah)
dan pembinaan insan adalah lebih utama dalam melaksanakan Jihad.
Tarbiyah dan pembinaan yang dimaksudkan ialah pembangunan insan mukmin
yang mampu dan sanggup membawa beban dan tugas dakwah, tidak bakhil harta
dan jiwa serta teguh dalam menghadapi setiap dugaan dan cubaan yang
dilaluinya, demi menegakkan kalimah Allah S.W.T. Ibnu
al-Qaiyim menjelaskan bahawa termasuk Jihad
melalui bidang ilmu ialah dalam aspek pembabitan kita dalam aspek-aspek
perancangan, termasuk menyediakan perancangan berstrategik, pelaksanaan
dan sebagainya. 4.
JIHAD
DENGAN SENJATA
Perinsip umum Islam adalah agama yang mementingkan kedamaian
daripada peperangan. Islam menganjurkan semua manusia terutama
pemeluk-pemeluknya supaya sentiasa menjaga keamanan dan berbaik-baik
kepada semua bangsa dan penganut agama lain, kecuali kedudukan Islam
terinaya atau terancam. Firman Allah S.W.T. dalam Surah al-Baqarah,
ayat 190 yang bermaksud; “Dan
perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan
orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan
memulakan peperangan), kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada
orang-orang yang menceroboh”. Firmam
Allah dalam Surah al-Haj, ayat
39-40, bermaksud;
“Diizinkan
berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan
penceroboh), kerana sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka
(mencapai kemenangan)”.
“Iaitu
mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan
sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana berkata:
Tuhan Kami adalah Allah”.
Berdasarkan
nas-nas al-Quran di atas adalah jelas bahawa jihad dengan menggunakan
senjata mestilah menepati syarat-syarat yang ketat dan bukti-bukti yang
jelas seperti kita boleh menentang mereka yang memerangani atau menghalau
kita dari tanah air kita yang dicintai.
5.
KEFAHAMAN JIHAD DI MALAYSIA Kebanyakan
mereka yang terjebak dengan gerakan jihad di negara kita sama ada secara
sedar atau tidak sedar telah dipesongkan pegangan mereka mengikut
pengertian yang amat sempit dan menyeleweng dari segi ajaran Islam yang
sebenar. Mereka yang
terpengaruh itu sering kali terperangkap dengan gerak
saraf secara halus oleh musuh-musuh Islam atau mereka yang menjadi
kuda tunggangan musuh-musuh Islam dengan tujuan untuk menghuruharakan atau
menggugat negara yang setabil, aman dan sejahtera. Dari
tinjauan yang telah dibuat melalui akhbar dan media massa didapati mereka
yang terjebak dengan gerakan jihad militan ini adalah terdiri daripada
mereka yang jahil mengenai pengertian sebenar tentang istilah ‘jihad’
atau mereka berpegang pengertian ini secara menyeleweng. Kedapatan
juga mereka yang terlibat dengan gerakan jihad ini terpengaruh dengan
gerakan jihad yang berlaku di luar negara seperti di Palastine, Bosnia dan
sebagainya. Mereka menganggap
suasana di luar negara yang menindas dan membunuh orang-orang Islam di
sana adalah sama keadaannya dengan Malaysia yang mendesak mereka atau
menuntut mereka untuk berjihad. Tanggapan
atau perbandingan mereka amat jauh terpesong dengan ajaran Islam yang
menyuruh mereka berjihad kerana di Malaysia tidak ada suruhan membunuh
orang-orang Islam yang lain dan pihak pemerintah senantiasa menggalakkan
berjihad dalam ertikata yang lebih luas. Satu
lagi bukti pegangan salah oleh mereka yang terjebak dengan apa yang
dinamakan gerkan jihad di Malaysia ialah kepercayaan dan pegangan mereka
bahawa Malaysia bukan sebuah negara Islam.
Kepercayaan yang mereka pegang ini hasil daripada didikan dan
momokan yang begitu lama oleh pihak-pihak tertentu yang membentuk minda
serta keimanan mereka bahawa gerakan perlu dibuat untuk menubuhkan sebuah
negara Islam mengikut acuan dan impian mereka. Kepercayaan
dan pegangan mereka ternyata salah dari segi siasah dan
keputusan-keputusan serta pengiktirafan dunia Islam yang meletakkan
Malaysia adalah sebagai sebuah negara Islam.
Pengiktirafan tersebut bukan sahaja terbatas oleh dunia Islam
tetapi ia juga diiktiraf oleh
ulamak-ulamak di negara ini yang tergolong daripada mereka yang tidak ada
kepentingan tertentu yang mengisytiharkan bahawa Malaysia adalah sebagai
sebuah negara Islam yang telah memenuhi syarat dan kriteria yang
dikehendaki oleh para fuqaha’ (ahli-ahli fiqah) yang mu’tabar.
Dari itu gerakan jihad untuk menentang Kerajaan sekarang ini adalah
tidak benar dan salah dari
segi syarak serta kehendak-kehendak Islam.
Ini adalah kerana pemerintah yang ada sekarang senantiasa berusaha
dan telah terbukti memajukan Islam. 6.
KESIMPULAN Dari
perbincangan di atas dapat disimpulkan bahawa beberapa jihad yang penting
hendaklah diutamakan seperti jihad menentang hawa nafsu dan syaitan, jihad
menuntut ilmu dan memerangi kejahilan, jihad membanteras kemiskinan,
masalah gejala sosial dan sebagainya.
Gerakan jihad bersenjata bagi memerangi Kerajaan pada masa ini
tidak menepati syarat dan tidak langsung mengikut kehendak-kehendak Islam.
Waktu yang aman dan sejahtera yang ada pada kita hendaklah diisi
dan seterusnya memerlukan kita berjihad bagi membangunkan ummah, memerangi
kemiskinan, kejahilan dan penyakit serta membanteras penyakit-penyakit
sosial. Kewajipan
dan tanggungjawab juga terletak dibahu kita semua bagi menjaga
kesejahteraan negara dari kekacauan dan huruhara serta mempertahankan
kesucian agama kita dari mereka yang cuba untuk menyelewengkannya dari
tuntutan yang sebenar.
|